AMALAN KESELAMATAN KETIKA BEKERJA DI BENGKEL KIMPALAN

 

1.0 PENGENALAN

Menurut Overheul (2001), penekanan terhadap kepentingan keselamatan yang berkesan adalah amat penting untuk kecemerlangan sesebuah organisasi. Ini kerana pelbagai kebaikan dapat dilihat sekiranya sesuatu organisasi sentiasa melaksanakan amalan keselamatan di tempat kerja (Clark, 2006). Antara kebaikan yang dapat diperhatikan  termasuklah amalan ini dapat mengurangkan risiko  berlakunya kemalangan atau kecederaan dengan mengenalpasti dan mengurangkan hazard di tempat kerja seterusnya menyumbang kepada peningkatan kecekapan dan produktiviti kerja serta pengurangan kos berkaitan pengurusan kemalangan atau kecederaan. Aspek keselamatan merupakan asas penting dalam persekitaran bagi pembelajaran pelajar yang kondusif Oleh itu, pendidikan tentang aspek – aspek keselamatan ketika melakukan sesuatu tugasan terutama di kawasan makmal atau bengkel perlulah sentiasa di terapkan dalam diri pelajar baik di peringkat sekolah sehingga ke peringkat pengajian tinggi sebagai persediaan untuk melangkah ke alam pekerjaan nanti.

2.0 KESELAMATAN DALAM BENGKEL KIMPALAN

Secara umumnya, pelajar akan terdedah kepada pelbagai hazard dan alatan berisiko tinggi ketika melakukan tugasan di bengkel kimpalan. Antara hazard tersebut termasuklah hazard fizikal, hazard kimia, hazard ergonomik, hazard elektrik dan lain – lain. Terdapat dua punca utama hazard iaitu keadaan di tempat kerja dan perlakuan pelajar. Oleh hal yang demikian, peringatan dan penjelasan secara berterusan tentang peraturan serta amalan keselamatan mengikut panduan yang telah dinyatakan dalam Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 serta peraturan - peraturan yang berkaitan perlulah sentiasa disampaikan kepada pelajar untuk meminimumkan risiko kemalangan yang mungkin boleh terjadi ketika melakukan kerja – kimpalan.

Jadual 1

Akta - akta dan peraturan perundangan yang digunapakai untuk penerapan aspek keselamatan di Malaysia


2.1 SEBELUM MELAKUKAN KERJA KIMPALAN

  1. Pelajar berkumpul dan berbaris di depan bengkel untuk diberikan taklimat mengenai keselamatan semasa bekerja di bengkel kimpalan, penerangan tentang amali yang perlu dilaksanakan serta semakan kehadiran oleh pensyarah.
  2. Pelajar diingatkan untuk memakai pakaian dan alat pelindung diri (PPE) yang berkaitan seperti pakaian pelindung diri, pelindung muka, sarung tangan kulit, apron, kasut keselamatan dan sebagainya.
  3. Bagi pelajar yang berambut panjang, rambut perlulah diikat rapi manakala bagi pelajar yang memakai tudung perlu memasukkan tudung ke dalam jaket keselamatan supaya tidak mengganggu kerja – kerja kimpalan.
  4. Pelajar diingatkan supaya meminta kebenaran pensyarah sebelum menggunakan sebarang mesin atau alatan di bengkel kimpalan.
  5. Pemeriksaan mesin perlu dilakukan sebelum memulakan kerja untuk memastikan mesin boleh berfungsi dengan baik.
  6. Tempat kerja perlu mempunyai susun atur yang baik supaya kerja dapat dilakukan dengan lancar.
  7. Lampu, kipas, roller shutter dan fume extractor perlu dibuka supaya tempat kerja mendapat cahaya yang mencukupi dan mempunyai sistem pengudaraan yang baik.
  8. Tempat kerja hendaklah sentiasa bersih daripada sebarang sisa kerja seperti serpihan besi dan sisa minyak bagi mengelakkan kemalangan yang disebabkan oleh bahan – bahan tersebut.
Video 1

Demonstrasi oleh pelajar tentang pemakaian PPE yang betul sebelum melakukan kerja - kerja pemotongan besi di bengkel kimpalan


Video 2

Demonstrasi oleh pelajar tentang pemakaian PPE yang betul sebelum melakukan kerja - kerja kimpalan


2.2 SEMASA MELAKUKAN KERJA KIMPALAN

  1. Para pelajar hendaklah sentiasa mematuhi arahan pensyarah dan mengikuti langkah keselamatan untuk mengelakkan sebarang kemalangan.
  2. Pelajar dilarang untuk bergurau atau bermain – main semasa di bengkel kimpalan.
  3. Pelajar perlu memaklumkan kepada pensyarah jika berlaku sebarang masalah seperti kerosakan mesin atau kecemasan.
     Rajah 1 

    Pelajar melakukan proses kimpalan dengan pemakaian PPE yang lengkap


2.3 SELEPAS MELAKUKAN KERJA KIMPALAN

  1.  Pastikan suis setiap peralatan yang menggunakan elektrik ditutup selepas selesai digunakan.
  2. Semua peralatan perlu disimpan kembali di tempat asal.
  3. Setiap pelajar perlu membersihkan ruang kerja masing – masing daripada sisa – sisa bahan kerja yang telah dilakukan.
  4. Bahan yang mudah terbakar, bahan yang berat dan panjang, serta bahan toksik hendaklah disimpan di tempat yang selamat dan mudah diselenggara.
  5. Tutup semua suis kipas dan lampu serta fume extractor sebelum keluar dari bengkel.
  6.  Pelajar perlu berkumpul di hadapan bengkel untuk semakan kehadiran dan taklimat penutup sesi amali oleh pensyarah.
    Rajah 2 
    
    Keadaan bengkel yang telah dikemas selepas selesai sesi amali pada hari tersebut


4.0 PENUTUP

Dalam sesebuah organisasi, antara perkara yang paling dititikberatkan adalah keselamatan tempat kerja (Christian et al., 2009). Bagi merealisasikan perkara ini, Kerajaan Malaysia telah mewujudkan akta – akta tertentu seperti Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 untuk memastikan kebajikan dan kesejahteraan pihak yang terbabit. Akta ini juga telah dijadikan sebagai panduan dalam penerapan aspek amalan keselamatan dalam bidang pendidikan yang berkaitan seperti Teknologi Kimpalan. Justeru itu, penerapan amalan keselamatan semasa bekerja di bengkel kimpalan adalah satu usaha berterusan supaya budaya kerja selamat dapat dipupuk dengan baik  dalam kalangan pelajar bagi mengelakkan sebarang kecelakaan yang mungkin berlaku sekaligus membentuk individu yang beretika di alam pekerjaan akan datang.

4.0 RUJUKAN

Christian, M. S., Bradley, J. C., Wallace, J. C., & Burke, M. J. (2009). Workplace safety: A meta-   analysis of the roles of person and situation factors. Journal of Applied        Psychology, 94            (5), 1103–1127.

Clarke, S. (2006). The relationship between safety climate and safety performance: A meta-   analytic review. Journal of Occupational Health Psychology, 11(4), 315 –    327.

Haron, H. (2008). Perlaksanaan akta keselamatan dan kesihatan pekerjaan, 1994 di Institut Latihan Awamhttp://eprints.utm.my/id/eprint/11455/

Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan, 1994. http://www.dosh.gov.my

Laman web NIOSH: http://www.niosh.com.my

Omar, Z. B. T., & Radzi, W. M. (2018). Kajian terhadap pengurusan keselamatan pekerja di Perbadanan Stadium Hang Jebat. MANU Jurnal Pusat Penataran    Ilmu Dan Bahasa        (PPIB), 91–108. https://doi.org/10.51200/manu.v0i0.1585

Overheul, V. (2001). 20 years of safety. WACO: Stevens Publishing Corp.


No comments:

Post a Comment

AMALAN KESELAMATAN KETIKA BEKERJA DI BENGKEL KIMPALAN

  1.0 PENGENALAN Menurut Overheul (2001), penekanan terhadap kepentingan keselamatan yang berkesan adalah amat penting untuk kecemerlangan...